Homocysteine risiko terbaru strok

MEMBICARAKAN tekanan darah tinggi, penyakit jantung, diabetes dan tabiat merokok pasti ramai yang dapat meneka bahawa inilah faktor risiko utama yang meningkatkan peluang seseorang mendapat strok atau angin ahmar.

Dianggarkan mereka yang menghidap hipertensi mempunyai risiko enam kali ganda, merokok dua kali ganda dan penyakit jantung antara dua hingga enam kali ganda mendapat strok.

Bagaimanapun, tidak ramai mengetahui selain faktor-faktor konvensional tersebut, kini terdapat risiko terbaru yang mendedahkan seseorang mendapat strok iaitu homocysteine.

Homocysteine yang dihasilkan oleh tubuh merupakan pati asid amino yang juga dikenali sebagai methionine.

Methionine ini terhasil daripada makanan tercerna yang kaya dengan protein seperti daging, telur dan susu.

Jumlah methionine yang dihasilkan secara berlebihan ini akan ditukar kepada homocysteine.

Pensyarah Perubatan dan Neurologi, Fakulti Perubatan Universiti Malaya (UM), Dr. Tan Kay Sin, berkata kecacatan genetik yang menyebabkan seseorang tidak mempunyai enzim yang mencukupi adalah faktor yang mempengaruhi metabolisme homocysteine.

“Seseorang yang mewarisi kekurangan enzim yang diperlukan menyebabkan paras homocysteine meningkat dalam darah,” jelasnya.

Menurut beliau, paras homocysteine yang tinggi dalam darah ini mengakibatkan berlakunya aterosklerosis iaitu proses pengerasan plak yang menyempitkan pembuluh darah.

Lama-kelamaan, proses ini boleh menyumbatkan pengaliran darah.

“Jika kerosakan ini berlaku pada pembuluh darah jantung, ia akan menyebabkan serangan jantung, manakala jika ia berlaku pada pembuluh darah di otak ia akan menyebabkan strok,” katanya dalam satu sidang media baru-baru ini.

Strok berlaku apabila bekalan darah ke otak terganggu yang menyebabkan tisu-tisu otak kekurangan oksigen dan nutrien.

Hanya dalam tempoh beberapa minit, sel-sel otak ini akan mati.

Penyakit yang dikenal pasti sebagai punca ketiga kematian dan hilang upaya di kalangan orang dewasa di kebanyakan negara maju ini berlaku kepada empat dalam setiap 1,000 orang.

Menurut National Stroke Association, dianggarkan sebanyak 150,000 kematian akibat penyakit ini dan 550,000 kes baru dilaporkan.

Setiap tahun, prevalens kemasukan pesakit strok di Hospital Kuala Lumpur (HKL) ialah sebanyak 1,000 orang, manakala Pusat Perubatan Universiti Malaya (UM) 400 orang.

Lebih membimbangkan, insiden strok ini meningkat seiring dengan peningkatan usia.

Dr. Tan memberitahu, homocysteine dikenal pasti sebagai faktor risiko terbaru strok berdasarkan kajian yang dilakukan di kalangan pesakit strok iskemik di Pusat Perubatan Universiti Malaya pada Mac tahun ini.

Faktor konvensional
Kajian yang julung kalinya diadakan di Malaysia oleh Unit Neurologi UM yang membabitkan seramai 83 orang pesakit strok iskemik mendapati, paras homocysteine mereka adalah jauh lebih tinggi berbanding orang biasa.

“Kajian mendapati prevalens paras homocysteine dalam darah mereka ialah 53 peratus dengan pecahan 30 peratus mempunyai tahap homocysteine yang rendah, manakala 23 peratus sederhana,” katanya.

Kata beliau, keyakinan berhubung homocysteine sebagai punca risiko terbaru strok ini diperkukuhkan apabila kajian yang dilakukan di negara ini menyamai dengan kajian di negara Barat.

Kajian Rotterdam (JAMA Mei/Jun 1999) mendapati, risiko seseorang mendapat strok adalah 2.53 kali ganda lebih tinggi di kalangan mereka yang mempunyai paras homocysteine yang tinggi berbanding mereka yang mempunyai paras yang normal.

Tambahnya, risiko seseorang yang diketahui mempunyai paras homocysteine ini mendapat strok lebih tinggi jika mereka mempunyai faktor-faktor konvensional seperti merokok, paras kolesterol yang tinggi dan hipertensi.

“Risiko seorang perokok mendapat strok adalah 1.9 kali ganda lebih tinggi berbanding mereka yang tidak merokok.

“Jika faktor ini digabungkan dengan paras homocysteine yang tinggi, risiko mendapat strok akan meningkat lima kali ganda,” ujarnya.

Bagaimanapun, Dr. Tan memberitahu, paras homocysteine dalam darah ini boleh direndahkan dengan meningkatkan pengambilan makanan yang kaya dengan asid folik, vitamin B6 dan vitamin B12.

Ini termasuklah bijirin sarapan, sayur-sayuran berdaun hijau, buah-buahan sitrus dan kekacang.

“Buah-buhan sitrus, daging ayam, daging lembu dan sayur-sayuran seperti asparagus, kacang dan kobis kaya dengan vitamin B6, manakala daging lembu, daging ayam dan ikan adalah sumber yang kaya dengan vitamin B12,” jelasnya.

Bagaimanapun, jika kaedah ini tidak dapat membantu, Jawatankuasa Pemakanan Persatuan Jantung Amerika menasihatkan supaya mengamalkan pengambilan 400 mikrogram asid folik, 2 miligram vitamin B6 dan 6 mikrogram vitamin B12 setiap hari.

“Pengambilan ini lebih digalakkan di kalangan warga tua dan wanita dalam kumpulan reproduktif,” ujarnya.

Menurut Dr. Tan, saranan ini juga adalah berdasarkan kajian kedua yang dijalankan berhubung keberkesanan vitamin B dalam mengurangkan paras homocysteine dalam darah.

Katanya, pesakit-pesakit yang mempunyai paras homocysteine yang tinggi ini diberi sebiji vitamin B-kompleks yang mengandungi 0.4 miligram asid folik, 20 miligram vitamin B6 dan 12 mikrogram vitamin B12.

“Kajian mendapati, paras homocysteine di kalangan pesakit ini berkurangan sebanyak 30 peratus berbanding mereka yang diberi plasebo,” katanya.

Faktor risiko strok:
* Mereka yang merokok

* Mempunyai hipertensi

* Diabetes

* Penyakit jantung

Menurut kajian, strok jarang berlaku di kalangan wanita yang mengamalkan pil perancang.

Sebaliknya, risiko seseorang wanita mendapat strok meningkat jika mereka merokok dan berusia 35 tahun ke atas.



disadur dari: http://rampaiseri.wordpress.com/2007/08/

Tidak ada komentar: